
Permulaan tahun 2021 ni sangat mencabar buat semua terutama yang berada di pantai timur dan selatan tanah air. Setiap hari, ada je berita banjir di kawasan-kawasan ini.
Kawasan rumah family Nana pun tak terkecuali. Rumah parents di Temerloh, Pahang. Setakat hari ini, air di Sg. Pahang dah melimpah tebing dan jalan masuk ke taman perumahan juga dah dinaiki air paras betis. Risau sangat dengan mereka di sana.
Kali terakhir Temerloh banjir besar masa akhir tahun 2014 dulu. Masa tu, air memang naik tinggi sangat. Boleh dikatakan, bandar Temerloh lumpuh lah masa tu. Alhamdulillah rumah parents berada di kawasan yang tinggi. Jadinya rumah selamat tak dinaiki air. Tapi, kedai roti ayah habis lumpuh. Air naik sampai paras peha kalau tak silap.
Bayangkan lah mesin-mesin roti yang ada dalam kedai tu. Tenggelam habis. Ambil masa lama jugak nak baiki dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
Kesian sangat kat mangsa-mangsa banjir. Banyak masalah yang berlaku dan akan berlaku kalau banjir besar ni. Apatah lagi selepas banjir nanti (pasca banjir).
Nana kongsikan perkongsian pengalaman dari Acaii Jawe yang ramai tak tahu bila banjir berlaku. Nana kenal Acaii ni masa nak kahwin dulu. Acaii jadi official photographer Nana masa nikah dulu. Tapi sayang, sekarang Acaii dah tak ambil gambar kalau tak silap. Mungkin in future mana tahu kan.
Jom baca perkongsian dari Acaii Jawe, atau nama sebenarnya Faisal Rahim.
11 perkara yang RAMAI TAK TAHU bila berlaku banjir. Ini berdasarkan pengalaman kampung aku banjir beberapa kali dan duduk di Pusat Pemindahan Banjir.
1. Makanan BUKAN satu masalah besar.
Malah ia berlimpah ruah sampai beberapa bulan ada yang tidak habis. Sebab semua yang datang biasanya bagi bantuan makanan. Melainkan tempat-tempat yang ada masalah transportation.
2. Masalah terbesar adalah TANDAS.
Semua tandas TAK BERFUNGSI. Lubang tandas dipenuhi air. Tak boleh flush sebab sekeliling kawasan pusat pemindahan banjir juga digenangi air. Kasihan orang tua, ibu mengandung atau yang ada anak kecil. BAYANGKAN situasi itu. Siksa & mengerikan dengan bau dan kebersihan yang menyedihkan.
3. Penternak haiwan paling kasihan.
Ada beratus-ratus ekor lembu, kambing, puluh ribu ekor ayam kena pindah ke tempat lain. Takde kandang untuk letak. Takde makanan (rumput tenggelam). Banyak binatang lemas.
Cuba bayangkan korang ada 20 ekor lembu/kambing. Takde kandang nak letak. Nak bagi makan apa setiap hari kalau rumput semua tenggelam? Bayangkan bagi yang ada 100 ekor ke atas.
Itu belum ayam, kucing, anjing liar yang 1-2 minggu duduk atas pokok atau kat bumbung rumah takde siapa bagi makan. Ada yang mati dan ada yang kurus kering bila dijumpai.

4. BANYAK POKOK MATI.
Bila air bertakung, banyak pokok (buah-buahan, bunga, sayur dll) akan lemas. Kampung aku langsung takde pokok durian. Ia pokok paling manja. 100% confirm mati bila banjir. Pokok paling tahan, pokok kelapa sawit. Sebulan bergenang air, takde satupun yang mati.
5. Banyak PERABOT ROSAK & pintu tak boleh buka.
Perabot zaman sekarang semua dari serbuk kayu. Bila terendam air, kitchen cabinet, almari baju, meja makan, perabot Ikea dll akan kembang dan rosak. Dia punya kembang tu bahagian kena air banjir akan kembang membesar sampai 1-2 inci. Pastu jadi rapuh. Kalau katil, bila duduk je roboh terus. SEMUA kena beli lain.
Pintu kayu jenis cengal, meranti pun kembang. Frame keliling pintu juga kembang menyebabkan semua pintu tak boleh buka. Kena ketam semula.

6. Selamat tinggal karpet dan tikar getah. Semua akan berbau busuk, rosak dan penuh lumpur. Sebab tu kawasan yang selalu banjir akan pasang tiles satu rumah.
7. Binatang dalam tanah semua keluar. Cacing banyak keluar di lantai tanah (tak timbul). Panjang-panjang semuanya bergumpal-gumpal nak cari oksigen. Takut kalau nampak. Kalau cacing tu mati baru timbul.
8. Kena jauhi pokok. Semua jenis binatang liar akan panjat pokok untuk berlindung. Ular sawa, ular tedung, lipan, kala jengking, biawak dll semua ada kat situ.
9. Kejadian kecurian berleluasa. Setiap kali musim banjir, banyak rumah kena pecah masuk. Diaorang ambil kesempatan rumah kosong. Sebab masa pindah cuma bawak baju dan dokumen penting je. Lain semua tinggal.
10. Banyak penyakit kulit dan cirit birit berlaku kat mangsa banjir selama berminggu-minggu. Air banjir ni bukannya bersih walaupun banyak kuantitinya.
11. Paling azab dan siksa adalah ketika nak bersihkan rumah pasca-banjir. Dalam rumah banyak lumpur. Lumpur ada kat almari baju, almari pinggan, dalam kabinet dapur dll. Perlukan tenaga yang banyak dan air yang banyak untuk bersihkan. Kena ada water jet.

Kesimpulannya,
Bantuan banjir terbaik sebenarnya :
1. Bantuan bersihkan rumah.
Ramai orang tua yang duduk sendiri tak mampu nak bersihkan lumpur dalam rumah. Camne nak tidur kalau tilam berlumpur, dapur berlumpur, tandas berlumpur dsb.
2. Bantuan kewangan.
Semua perabot musnah dan kena beli baru. Bantuan ni terbaik berbanding korang bagi beras, sardin, tepung yang sampai 3-4 bulan tak habis-habis.
Semoga semua tempat yang dilanda banjir di seluruh negara segera pulih. Ujian banjir ini seksanya hanya yang pernah alami faham. Ia mengganggu emosi, fizikal dan kewangan akan terjejas.
Doakan untuk mereka semua.
Sumber: FB Faisal Rahim
Mari sama-sama kita doakan buat semua mangsa banjir tabah dan sabra mengharungi ujian ini.
Semoga urusan mereka dipermudahkan, insyaAllah.