Anak Susah Nak Kawal Diri? Ikuti Tips Membantu Anak Mengawal Diri Mengikut Umur

Pernah tak mak ayah akan menghadapi fasa anak susah kawal diri, dimana jika ada sesuatu yang tidak kena walaupun sekecil-kecil benda? Mereka akan mengamuk sampai tak ingat dunia. Contohnya:

  • Anak nak makan satu bekas makanan yang disukai seperti ais krim, selagi tak habis selagi itu anak akan minta.
  • Anak mengamuk bila tersalah masuk kaki semasa memakai seluar.
  • Anak campak mainan bila tersalah pasang atau terlalu susah baginya

Jangan risau, ia adalah SANGAT NORMAL terutamanya bagi anak yang berumur 2 tahun ke bawah kerana waktu ini adalah waktu paling sensitif untuk anak belajar mengurus emosi sendiri.

Ikuti perkongsian dari occupational therapist, Maryam Jamadi di bawah.

Kita semua tidak dilahirkan dengan mempunyai Pengawalseliaan Diri (Self regulation) kerana semasa lahir, otak kita masih belum lagi dalam proses berkembang dan membesar. Skil ini akan mula berkembang semasa bayi berumur 12 bulan ke atas. Semakin kita membesar, semakin susah untuk belajar sesuatu skil kerana otak kita dah semakin kurang fleksibel berbanding otak kanak-kanak.

Maka, sangat penting untuk mak ayah yang mempunyai anak kecil untuk mempelajari bagaimana membantu anak mengawal diri dalam pelbagai situasi.

Kebanyakan anak yang mempunyai masalah tingkahlaku adalah disebabkan isu pengawalan diri dan selalunya mempunyai masalah pengurusan diri juga.Sebab itu, kami terapis cara kerja selalu tekankan skil pengurusan diri anak seperti pakai dan buka baju seluar sendiri, berus gigi sendiri, sikat rambut, makan sendiri dan sebagainya. Setiap kali anak belajar menguruskan diri sendiri, setiap kali itu juga belajar mengawal diri sendiri.

Skil pengurusan diri awal memberi kesan pada skil sosial, pengurusan emosi, malah sangat penting juga untuk pembelajaran anak di masa akan datang. Semua skil ini sangat berkait rapat antara satu sama lain.

Saya beri analogi mudah, jika anak umur 7 tahun masih baling barang atau mengamuk bila mainan yang dimain terlampau susah baginya, adakah anak boleh mengawal dirinya daripada putus asa atau mengamuk jika tidak dapat menjawab soalan matematik di sekolah?

Membesarkan anak memang sangat mencabar kerana kita bukan sahaja membesarkan fizikal mereka tetapi juga membesarkan skil-skil asas penting dalam kehidupan termasuklah skil mengurus emosi diri.

 

TIPS MEMBANTU ANAK MENGAWAL DIRI MENGIKUT UMUR

Untuk membantu anak mengawal diri, mak ayah tidak boleh lakukan secara drastik. Perlu lakukan sedikit demi sedikit mengikut umur dan tahap anak. Mak ayah boleh cuba tips saya mengikut umur seperti dibawah;

 0-12 BULAN

  • Akan menangis setiap kali sedih, marah, sakit atau lapar.
  • Tenang apabila dipeluk dan dibelai mak ayah. Mula belajar untuk tenangkan diri sendiri dengan cara menghisap jari ataupun mengigit mainan.

TIPS

  • Elakkan membiarkan bayi berumur 6 bulan kebawah menangis terlampau lama kerana boleh memberi kesan jangka panjang pada perkembangan emosi anak.
  • Banyakkan memeluk dan membelai anak semasa anak menangis, jadikan mak ayah sendiri sebagai “agen penenang” anak berbanding gadget atau TV.

1-2 TAHUN

  • Mula belajar mengawal diri dan emosi tetapi ada kalanya masih kerap kalah dengan emosi apabila berhadapan situasi baru atau mencabar.

TIPS:

  • Beri sokongan bila anak berhadapan situasi mencabar contohnya apabila main mainan yang susah.
  • Beri sokongan, bukan buatkan 😅
  • Semasa ini anak sangat suka meniru perbuatan orang dewasa, mak ayah perlu jadi model terbaik untuk anak apabila berhadapan situasi mencabar.
  • Main mainan mengikut umur anak dan mak ayah juga perlu buat-buat rasa susah juga.
  • Contohnya “Susahnya nak buka mainan ni, tapi jom kita cuba lagi” (dengan muka berkerut).
  • Usaha sama-sama sehingga berjaya.

2-3 TAHUN

  • Mula belajar beratur dan menunggu giliran.
  • Mendengar arahan dan cuba belajar memahami keadaan semasa dengan bantuan mak ayah.
  • Kadang kala sengaja melanggar peraturan jika berhadapan situasi mencabar.

TIPS:

  • Banyakkan bercerita tentang emosi dengan anak seperti sedih, marah, gembira, suka, tak suka dan sebagainya.
  • Tanya perasaan anak apabila berdepan situasi gembira atau sedih.
  • Kadang-kala, memujuk bukanlah cara terbaik untuk menenangkan anak semasa ini.
  • Beri ruang untuk anak meluahkan perasaan dengan cara menangis, pujuk apabila anak sudah buka mata dan tenang.
  • Beritahu situasi dan peraturan apabila berada di situasi baru atau tempat.
  • Puji anak jika berkelakuan baik dan berjaya lakukan sesuatu perkara baru.

  

3-4 TAHUN

  • Mula belajar memahami situasi dan tingkahlaku yang sesuai contohnya mengawal diri dari menaiki tangga rumah orang lain atau memperlahankan suara apabila bayi sedang tidur.

TIPS

  • Sentiasa beritahu tentang keadaan semasa setiap kali pergi ke tempat baru contohnya senyap di panggung wayang atau jangan berlari di kedai kaca. Terangkan kesan dan akibat apabila berpelakuan begitu.
  • Kerapkan memuji anak jika anak berkelakuan baik.
  • Bantu anak belajar mengurus emosi apabila berdepan dengan situasi mencabar seperti kawan rampas barang atau kematian haiwan peliharaan.
  • Beri mereka ruang untuk menangis dan belajar meredakan perasaan sendiri juga.

4 TAHUN

  • Sudah tahu kesan dan akibat setiap perlakuan yang dilakukan.
  • Mula bertolak ansur dan bertoleransi semasa bermain dengan orang lain.
  • Suka bersaing dalam pelbagai situasi.

TIPS:

  • Jika mak ayah ada tetapkan peraturan, elakkan melanggar peraturan sendiri kerana akan mula belajar yang tiada kesan jika melanggar peraturan.
  • Perkenalkan anak dengan permainan yang ada unsur kalah dan menang supaya anak belajar menerima kekalahan. (Snakes, and Ladder, Jenga, Chess, Dam Haji, dll)

Semoga bermanfaat.

     

      Nukilan asal: FB Maryam Jamadi

2 thoughts on “Anak Susah Nak Kawal Diri? Ikuti Tips Membantu Anak Mengawal Diri Mengikut Umur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge