
Sebagai pengguna tegar yang hampir setiap hari guna air fryer kat rumah, Nana kene pastikan cara penggunaan air fryer nya betul supaya air fryer boleh bertahan lama.
Kalau main pakai je, tak jaga elok air fryer, silap-silap tak sampai setahun dah rosak.
Buat masa sekarang alhamdulillah air fryer Nana masih elok. Beli pada Januari 2016. Kiranya dah 4 tahun umur air fryer kat rumah ni. Nana kongsikan 10 tips untuk jaga air fryer supaya tahan lebih lama.
1. Pastikan air fryer berada 15cm atau lebih jarak dari dinding dan sekeliling. Bahagian (compartment) air fryer boleh cair jika berlaku pantulan haba yang tinggi.
2. Jika masakan dah masak tetapi minit masih berjalan, tarik keluarkan loyang air fryer tersebut. Pemanasan akan terhenti dan tutup suis. Biarkan minit tersebut kembali ke kosong dengan sendiri. Jangan paksa pulas timer (pulas hingga ke minit 0). Timer akan mudah rosak. Tutup suis selepas keluarkan loyang dari air fryer.
3. Jangan masukkan bahan ringan yg mudah terbang ke dalam air fryer kerana di dalam air fryer ada putaran angin yang kuat. Bahan yang ringan akan terbang dan terbakar bila terkena gegelung pemanas. Sebagai contoh, kulit popiah atau kertas pelapik (baking paper). Air fryer mudah terbakar jika terkena bahan-bahan ini.
4. Jangan terus basuh bekas nonstick sewaktu panas. Nonstick akan cepat tertanggal dan rosak.
5. Elakkan letak air di dalam air fryer. Masak mee segera atau kukus sangat tidak sesuai. Air fryer diciptakan untuk membakar/menggoreng, bukan untuk kukus atau rebus.
6. Pastikan loyang tidak menutup terus tapak air fryer. Jika tidak, haba bahagian bawah air fryer tidak dapat berputar dengan lancar. Makanan akan masak di bahagian atas sahaja. Suhu air fryer juga akan jadi tidak stabil. Pastikan loyang makanan diletak kan di dalam raga air fryer.
7. Kuantiti makanan yang di masak mempengaruhi penggunaan suhu dan masa. Kene selalu cuba bereksperimen dengan suhu dan masa air fryer masing-masing. Lain bran air fryer, lain keperluannya. Try and error. Belajar dari pengalaman. Cuba dengan suhu sederhana dan masa yang pendek. Jika kurang masak, boleh tambahkan lagi suhu dan masa.
8. Saiz air fryer juga memainkan peranan. Air fryer yang lebih besar memerlukan suhu dan masa yang berbeza dan sedikit tinggi berbanding dengan air fryer yang lebih kecil. Pokok pangkalnya, kene cuba bereksperimen dengan air fryer sendiri.
9. Boleh lap pemanas yg berlingkar (gegelung pemanas macam ubat nyamuk tu) dengan tisu basah. Jangan siram air jika ada kotoran. Kotoran seperti minyak atau air dari ayam bakar yang terpercik boleh dilap dengan tisu basah.
Jangan terus lap ketika panas dan jangan terus pakai selepas lap dengan tisu basah tu. Pastikan gegelung pemanas tu dah sejuk, baru lap. Dan juga pastikan gegelung pemanas tu dah kering baru boleh guna semula air fryer nya. Guna tisu basah yang biasa (bukan yang berperisa atau yang ada alcohol). Boleh juga basahkan tisu dapur tu dan lap.
10. Makanan beku boleh digunakan dalam air fryer, asalkan ada jarak antara satu sama lain. Jangan bakar dalam air fryer jika makanan beku tersebut lekat antara satu sama lain. Nanti tak masak sepenuhnya.
Air fryer ni sebenarnya diciptakan untuk memudahkan manusia. Jangan la pula kita yang rumitkan dia.
Contohnya, kalau goreng telur atas kuali non stick tanpa minyak, boleh siap dalam masa 2-3 minit. Kalau guna air fryer, kene set 120 Celcius selama 10 minit. Nampak kurang cerdik kat situ. Haha. Membazir elektrik pun ye jugak.
Jika ada tambahan tips lagi, boleh kongsikan di ruangan komen.
info yang sangat berguna memandangkan sisyat baru try guna Af ni 🙂